Misteri Puncak Gunung Jerai

by - 10:48


Misteri Puncak Gunung Jerai yang mempunyai berbagai kesan pendudukan lama masih menjadi suatu kisah yang diminati di kalangan peminat dan pengkaji sejarah, khasnya dalam perkara kemasukan Islam dan sejarah ke Sultanan Melayu Nusantara. Sebahagian pula mengkategorikan ia sebagai mitos.

Gunung Jerai mempunyai kisah dan sejarahnya tersendiri. Di mana Gunung Jerai yang menganjur ke Tanjung Jaga di Selat Melaka ini telah menjadi panduan kepada pelayar-pelayar silam yang singgah berdagang di negeri ini. Gunung Jerai sering dikaitkan dengan mitos Raja Bersiong yang telah membuka kawasan penempatan dikaki gunung ini.

Menurut cacatan sejarah, Gunung Jerai yang terletak di daerah Yan ini telah lama menarik kunjungan pedagang Acheh ke daerah ini. Sebagai buktinya sehingga kini kebanyakkan penduduk kampung Acheh dan kampung Sungai Limau, Yan adalah berketurunan Acheh Indonesia. Di Puncak Gunung Jerai terdapat sebuah batu besar yang berbentuk sebuah kapal dipercayai telah disumpah oleh Sang Kelembai iaitu gergasi yang mempunyai sakti. Kapal tersebut dikatakan telah dinaiki oleh Maharaja Merong Mahawangsa yang ketika itu ingin berlabuh di Pulau Jerai iaitu nama asal bagi Gunung Jerai.
 
Perigi yang dikenali oleh masyarakat sejak dahulu hingga kini sebagai 'Perigi Tok Sheikh' yang terletak bersebelahan dengan kawasan air terjun Gunung Jerai ini pula dikatakan milik pendeta Arab yang dipercayai telah berlabuh di Sungai Baboor dan kini dikenali Sungai Merbok dengan tujuan menyatakan keindahan Islam pada pemerintah Kataha atau Kalaha iaitu Kedah.

Tok Sheikh atau Sheikh Abdullah bin Sheikh Jaafar Kumiri adalah orang yang bertanggungjawab mengislamkan Raja Kedah yang pertama iaitu Maharaja Derbaraja (Sultan Muzaffar Syah) pada tahun 1136 masihi (531 hijrah).

Disebabkan Tok Sheikh ini dianggap sebagai seorang manusia yang mulia maka air perigi Tok Sheikh dipercayai mampu menjadi penawar kepada pelbagai penyakit dengan cara meminum atau mandi dengan menggunakan air telaga ini.
Padang Tok Sheikh, iaitu tapak masjid yang didirikan di zaman Sheikh Abdullah Yamani. Telaga Tok Sheikh tempat beliau mengambil air sembahyang dan sekeping batu rata seperti permukaan meja yang dipanggil Sejadah Tok Sheikh iaitu tempat beliau bersembahyang. Kononnya ada gua dipanggil Gua Tok Sheikh di Gunung Jerai tempat orang sembahyang Jemaah.
Di dalam gua tersebut masih boleh dilihat orang berdiri betul, ruku dan sujud dan dalam pelbagai rupa orang bersembahyang tetapi semuanya batu, kaku dan berlumut.

Kisah-kisah tersebut sebenarnya telah menggamit minat ramai pengunjung untuk melihat sendiri keadaan tepat berkenaan sambil menikmati keindahan panorama dari kemuncak Gunung Jerai.

Sedangkan sejarah dan kisah-kisah Masjid dan perigi serta kesan besi kapal masih kekal menjadi satu kajian dan perhatian pengkaji dan peminat yang cenderung kepada sejarah perkembangan Islam di Nusantara.


Bahkan banyak lagi kisah misteri disebalik itu yang masih menjadi persoalan.

You May Also Like

0 comments