Harimau lebih hebat
TAHNIAH...Syahrul (kiri) diraikan Izzaq (tengah) dan Fandi selepas menjaringkan gol yang menyebabkan Stadium Gelora Bung Karno Indonesia sunyi-sepi.
EGO Indonesia tercalar di stadium keramat mereka, Stadium Gelora Bung Karno apabila tumpas di tangan Malaysia 1-0 pada pertembungan terakhir Kumpulan A yang menyaksikan skuad bawah 23 tahun negara itu gah mara ke separuh akhir selaku juara kumpulan.
Biarpun diejek dan dicemuh dengan kata-kata ‘maling’ (pencuri) oleh 100,000 penyokong lawan, Malaysia mencipta kemenangan hasil jaringan Syahrul Azwari Ibrahim meskipun jurulatih Ong Kim Swee diarah keluar padang pada babak kedua kerana tidak puas hati dengan pengadil perlawanan, Fahad Al Kassar dari Emiriah Arab Bersatu.
Kemenangan itu membolehkan juara bertahan, Malaysia mengumpul 10 mata hasil tiga kemenangan dan satu seri untuk bertemu Myanmar, naib juara Kumpulan B esok.
Indonesia pula menempah pertemuan dengan juara Kumpulan B, Vietnam yang juga finalis di Laos, dua tahun lalu.
Malaysia yang hanya memerlukan keputusan seri untuk mara ke separuh akhir bagi menafikan peluang Singapura yang mengumpul tujuh mata selepas menewaskan Thailand 2-0 pada perlawanan awal, bermula garang menerusi percubaan kapten, Baddrol Bakhtiar pada minit kelima. Skuad Indonesia kendalian Rahmad Darmawan melakukan percubaan menerusi Ramdani Lestaluhu, namun penjaga gawang negara, Khairul Fahmi Che Mat pantas meluru menyelamatkan keadaan.
Selepas itu skuad negara terus melakukan serangan balas menerusi larian pemain sayap, Syahrul Azwari yang masuk menggantikan Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria di minit ke-14.
Ia ternyata membuahkan hasil apabila rembatan pemain berusia 18 tahun itu berjaya menewaskan penjaga gol tuan rumah, Andritany Ardhiyasa pada minit ke-17 sekali gus melenyapkan sorakan Garuda.
Anak buah Kim Swee kemudian berpeluang menambah jaringan, namun tandukan pemain pertahanan, Mohd Asraruddin Putra Omar berpunca dari sepakan sudut Baddrol Bakhtiar berjaya dikeluarkan pertahanan Indonesia.
Pada babak kedua, Indonesia cuba bangkit untuk memburu gol penyamaan, namun percubaan Lucas Mandowen di minit ke-55 berjaya diselamatkan Khairul Fahmi.
Permainan bertambah tegang apabila Syahrul Azwari kerap dikasari pemain Indonesia sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati, Kim Swee.
Namun tindakan pengendali negara itu yang membuat bantahan tidak disenangi pengadil sehingga diarah meninggalkan padang di minit ke-67 dan terpaksa memberi arahan menerusi walkie-talkie kepada penolongnya, Yong Wai Hwang.
Tapi, Malaysia ampuh bertahan bagi memastikan kemenangan cukup bermakna ke atas Indonesia.
sumber : hmetro
0 comments