Populariti Najwa Latiff Melonjak Dengan Cinta Muka Buku

by - 23:22




"Si Gadis Youtube" dan "Penyanyi Cover Lagu Orang" merupakan antara gelaran yang diberikan kepada penyanyi cilik yang memiliki suara emas ini. Nama Imratul Najwa Bt Abdul Latiff atau lebih dikenali dengan nama Najwa Latiff semakin mendapat tempat di hati peminat lagu-lagu ‘indie’ melalui laman youtube peribadi Najwa sendiri.

Dilayari sebanyak 2,342,351 jumlah lawatan, ternyata lagu ‘Cinta Muka Buku’ dan ‘Carta Hati’ ciptaan gadis berusia 16 tahun ini benar-benar mendapat respon yang sangat memberangsangkan serta mengangkat nama Najwa sekaligus.

"Bagai pucuk dicita ulam mendatang" tatkala ditemui di GuaStarchat yang diadakan di sini baru-baru ini, GUA sempat berkenalan lebih rapat dengan penyanyi cilik yang berasal dari Batu Pahat, Johor ini. Pada hari yang sama, pelajar aliran sains tulen di Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Temenggung Ibrahim, Johor ini turut menghadiri satu majlis ‘Sesi Ramah Mesra Najwa bersama Peminat’, bertempat di Theaterette,Sri Pentas.

Bermula dengan minat yang mendalam dalam bidang muzik sejak kecil lagi, kini gadis muda ini melangkah setapak lagi dengan merakamkan single pertama beliau. Bernaung di bawah syarikat rakaman NAR Records Sdn Bhd, Najwa merasa bertuah mendapat khidmat produser berpengalaman, Eddie Marzuki selaku penerbit untuk single pertamanya berjudul “Cinta Muka Buku”.

“Sebenarnya Najwa tidak pernah terfikir dapat peluang jadi artis rakaman syarikat yang besar seperti ini. Najwa rasa gembira sangat. Bermula Mac tahun ini, Najwa sudah menjadi artis di bawah syarikat NAR Records Sdn Bhd untuk kontrak selama dua tahun. Peluang ini Najwa akan guna sebaik mungkin.”

“Sebelum memasuki ‘mainstream’,Najwa tahu macam-macam cabaran yang akan Najwa hadapi selepas menjadi artis. Sebelum ini pun sudah banyak kutukan Najwa terima. Tetapi semua itu Najwa akan ambil dengan cara yang positif. Najwa sudah bersedia,”ujar si cilik yang menjadikan Justin Bieber sebagai idola dalam pengubahan lagu-lagu akustik ciptaan Najwa.

Tatkala ditanya mungkinkah suatu hari nanti gadis ini bakal mengantikan penyanyi wanita indie popular yang mendendangkan lagu hit,‘Dan Sebenarnya’, Yuna, Najwa menjelaskan kedudukan tersebut seolah-olah tidak layak bagi Najwa.

“Untuk jadi seperti Kak Yuna, Najwa rasa terlalu jauh. Kak Yuna sangat berbakat. Karier Najwa dalam bidang nyanyian masih terlalu awal kalau dibandingkan dengan Kak Yuna. Masih terlalu banyak yang Najwa perlu belajar. Jika diberikan peluang, Najwa mahu membawa konsep Najwa yang tersendiri dan tidak mahu dilabelkan sebagai ‘klon’ Kak Yuna. Harapan Najwa agar muzik yang Najwa bawa ini dapat diterima oleh industri muzik tempatan,” katanya sebelum mengakhiri perbualan
.

You May Also Like

0 comments