Tindakan Nasri cetus kontroversi
DONETSK, Ukraine - Pemain sayap Perancis, Samir Nasri (gambar) dilaporkan telah menunjukkan isyarat 'diam' kepada penolong jurulatih England, Gary Neville sebaik kedua-dua pasukan sekadar seri 1-1 dalam aksi Kumpulan D di Stadium Donbass Arena di sini tengah malam kelmarin.
Bintang Manchester City itu didakwa bertindak demikian selepas membantu Les Bleus menyamakan kedudukan pada minit ke-39.
Dalam perlawanan itu, The Three Lions terlebih dahulu di depan menerusi tandukan cantik rakan sepasukan Nasri di City, Joleon Lescott.
Namun jurulatih Perancis, Laurent Blanc mempertahankan tindakan Nasri yang meraikan jaringan tersebut.
"Terdapat reaksi dari segi peribadi dan individu yang mana kita tidak menjangka perkara ini akan berlaku.
"Bagi saya, Nasri mungkin begitu gembira apabila berjaya menjaringkan gol yang cantik," katanya.
Dalam pada itu, jurulatih England Roy Hodgson mengakui tidak tersinggung dengan tindakan Nasri dan menganggap ia sesuatu yang normal.
"Saya tidak rasa tindakan itu salah. Pemain berhak menunjukkan ekspresi masingmasing asalkan ia tidak keterlaluan," katanya.
Dalam masa sama, Hodgson juga enggan melatah meskipun dikecam hebat media England ekoran keputusan seri itu.
"Saya rasa England beraksi dengan cukup bagus sebagai satu pasukan. Jadi, ia sudah lebih daripada cukup sebenarnya memandangkan perjalanan kempen masih panjang," katanya.
England bakal berdepan Sweden di Stadium Olimpik, Kiev, Ukraine awal pagi Ahad depan. - Agensi
Sumber : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0613&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm
0 comments