Jerman waspada hadapi amukan hebat The Oranje
SEEKOR memerang bernama 'Ferret' memilih Jerman sebagai pemenang untuk menewaskan Belanda awal pagi esok.
GDANSK - Jurulatih Jerman, Joachim Loew percaya pasukan Belanda bakal tampil dengan aksi yang lebih garang menjelang pertemuan kedua-dua pasukan dalam aksi kedua Kumpulan B di Stadium Metalist, Kharkiv, Ukraine awal pagi esok.
The Oranje ketika ini dilihat terdesak memburu kemenangan pertama selepas tewas 0-1 kepada Denmark sebelum ini.
The Team pula dilihat masih segar dengan kejayaan membenam Portugal dengan kemenangan tipis 1-0 dalam aksi sulung mereka sebelum ini.
Justeru, Loew menasihatkan anak-anak buahnya supaya sentiasa berwaspada dengan ancaman The Oranje.
"Terus terang, ia sememangnya satu cabaran yang sukar apabila bertemu dengan Belanda, tambahan pula mereka tewas dalam perlawanan pertama sebelum ini.
"Apabila kamu kalah pada perlawanan pertama, kamu tidak boleh lagi tewas pada perlawanan seterusnya.
"Jadi saya percaya mereka tidak akan mengulangi kesilapan yang sama kali ini," ujar Loew.
Beliau memberitahu, kekalahan Belanda tempoh hari juga mungkin disebabkan oleh faktor cuaca yang amat panas di Kharkiv.
Sementara itu, beliau juga optimis dengan muka-muka baharu The Team kali ini meskipun ia cukup berbeza dengan skuad yang menewaskan Belanda dalam satu aksi persahabatan November tahun lepas yang menyaksikan Jerman menang 3-0.
"Masing-masing kehilangan tonggak, jadi saya kira ia bukan satu masalah besar kerana Belanda juga berdepan masalah yang sama.
"Meskipun terkenal dengan corak permainan pantas sebelum ini, saya percaya gaya Belanda akan berubah gara-gara kekalahan mereka tempoh hari.
"Sudah pasti ia satu pertemuan yang menarik, jadi kita tunggu dan lihat," katanya. - AFP
Sumber : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0613&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm
0 comments