Padam rekod kegagalan
Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
aziman@hmetro.com.my
MISI...Safiq tekad pertahan Piala AFF.
KAPTEN Harimau Malaya, Mohd Safiq Rahim enggan tenggelam dengan pujian biarpun mengukuhkan statusnya sebagai pakar sepakan percuma di negara ini menerusi ledakan dua gol bertaraf dunia dalam dua perlawanan persahabatan menentang Singapura.
Pemain berusia 24 tahun itu menjaringkan satu gol ketika Malaysia seri 2-2 di Stadium Jalan Besar Jumaat lalu sebelum menggamatkan Stadium Shah Alam, kelmarin dengan satu lagi sepakan percuma menarik dari luar kotak penalti bagi memastikan kemenangan 2-0 ke atas Singapura pada aksi timbal balik.
“Saya belum lagi layak bergelar pakar sepakan percuma, masih banyak perlu saya lakukan untuk meningkatkan teknik sepakan. Bukan mudah nak membuat sepakan yang tepat, kadang-kadang tidak menjadi dan saya perlu lakukan lebih banyak latihan.
“Tetapi, bagi saya kemenangan lebih penting semalam (kelmarin) berbanding gol yang saya hasilkan. Kemenangan ini amat istimewa buat kami dan ia pastinya memberi semangat kepada semua pemain dalam misi mempertahankan Piala AFF,” katanya yang turut menjaringkan gol menerusi sepakan percuma ketika Malaysia tumpas 6-3 kepada Liverpool pada aksi persahabatan Julai tahun lalu.
Menurut Safiq, kemenangan pertama ke atas Singapura dalam tempoh lapan tahun itu juga membuktikan Harimau Malaya semakin memperoleh semula aura kehebatan ketika menjuarai Piala Suzuki AFF 2010.
“Kem kali ini lebih lama berbanding sebelum ini dan kami mempunyai masa membentuk semula keserasian,” katanya.
Tugasan menanti skuad negara adalah menentang dua kelab gergasi England, Arsenal dan Manchester City pada 27 dan 30 Julai sebagai persiapan terakhir sebelum turun mempertahankan Piala Suzuki AFF di laman sendiri pada November ini.
0 comments