by - 11:50


Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bersama Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas, ketika tiba menziarahi Azizan yang menerima rawatan di Unit Rawatan Koronari (CCU) Hospital Pulau Pinang (HPP), semalam.Georgetown: Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak kini dalam keadaan stabil dan menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Agak tenat 

Sejak 5.30 pagi semalam, keadaan Azizan agak tenat dan kini ditempatkan di Unit Penjagaan Koronari (CCU) HPP. 

Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan melawat Azizan ditemani Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah dan anak, Tunku Panglima Besar Kedah, Tunku Puteri Intan Shafinaz. 

Baginda yang juga Sultan Kedah tiba di HPP pada jam 4.50 petang dan meluangkan masa hampir 15 minit.

Turut mengiringi baginda, Yang di-Pertua Pulau Pinang, Tun Dr Rahman Abbas bersama isteri, Toh Puan MajimorShariff; Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir dan Ahli Parlimen Pokok Sena yang juga Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Azizan, 69, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau dimasukkan ke CCU HPP, kelmarin selepas menjalani rawatan jangkitan kuman pada kaki. 
Sementara itu, Mukhriz berkata, daripada laporan pakar HPP, kesihatan Azizan kritikal tetapi dalam keadaan stabil.

“Kita akan memantau keadaan beliau dari semasa ke semasa. Kerajaan Kedah mendoakan rawatan yang dijalaninya berjaya memulihkan keadaannya,” katanya.

ADUN penggal ketiga

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Azizan yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah menang dengan majoriti 2,774 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Fazillah Mohd Ali serta dua calon Bebas, Sobri Ahmad dan Abdullah Hashim.

Kemenangan itu membolehkan Azizan menjadi wakil rakyat buat penggal ketiga sejak 2004. Bagaimanapun, PAS kehilangan kuasa pentadbiran kerajaan negeri apabila BN memenangi 21 dari 36 kerusi DUN untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

You May Also Like

0 comments