Dunia belum bosan irama Gangnam Style

by - 16:51


Seoul: Fenomena Gangnam Style masih mendapat sokongan kuat di seluruh dunia dengan ahli politik dan selebriti terkenal antara penyokong kuat. 

Sejak kemunculannya empat bulan lalu, lagu penyanyi Korea Selatan, Psy, itu diikuti ramai orang di YouTube termasuk ahli sukan dan ahli perniagaan. 

Meskipun ramai percaya Gangnam Style akan dilupakan tidak lama lagi, ia masih terus popular. Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon menggelarnya satu kuasa untuk keamanan dunia. 

Malah, pada pagi pilihan raya presiden Amerika Syarikat, Barack Obama memberitahu sebuah stesen radio bahawa beliau yakin dapat menggayakan tarian Gangnam. 

Cuma, saya tidak pasti sesi tarian sempena kemenangan detik wajar melakukannya. Mungkin saya buat di depan Michelle saja, katanya. 

Perdana Menteri Britain, David Cameron dan Datuk Bandar London, Boris Johnson menunjukkan aksi Gangnam kepada isteri mereka September lalu ketika di tempat percutian rasmi, Chequers. 
Jika ahli politik merujuk kepada lagu itu supaya lebih popular, ada juga yang menggunakannya untuk memberi mesej antikerajaan seperti aktivis China, Ai Weiwei. 

Ai melakukan tarian Gangnam Style yang dihantar ke YouTube sebelum dibuang oleh penapis internet China. 

Awal bulan ini, Psy, 34, dijemput berucap di kelab Oxford Union berusia 189 tahun di Universiti Oxford, menyusuli tokoh terkenal lalu seperti Ronald Reagan dan Dalai Lama. 

Pada masa sama, bagi pihak lain, ada yang tidak suka lagi dengannya. Akhbar The Guardian baru-baru ini bertanya: Siapa boleh bunuh Gangnam Style? 
Malah, September lalu, majalah Time mengumumkan fenomena Gangnam sudah berakhir. 

Tetapi, ia nyata meleset sebaliknya membantu Psy memberi persembahan bersama dengan penyanyi Madonna di Madison Square Garden, New York, minggu ini. 

AFP

kredit : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/DuniabelumbosaniramaGangnamStyle/Article/index_html

You May Also Like

0 comments