Alasan-alasan Mengapa Orang Merokok
Tekanan sosial, baik benar mahupun hanya merupakan hayalan, boleh mempengaruhi seseorang remaja supaya mula merokok. Tekanan-tekanan ini boleh berasal daripada remaja yang lain, orang dewasa, dan pengiklanan, antara lain.
Sesetengah remaja mula merokok supaya dapat diterima oleh kawan dan rakan sebayanya yang merokok. Kajian telah menunjukkan bahawa remaja yang mempunyai kawan-kawan yang merokok adalah lebih mungkin merokok berbanding dengan yang sebaliknya. Tambahan pula, sesetengah remaja mempercayai bahawa merokok memberikan mereka sesuatu "imej" pada mata kawan-kawan mereka atau menyebabkan mereka kelihatan berdikari. Jika seseorang remaja berkenal dan menghormati orang-orang dewasa yang merupakan perokok, remaja itu mungkin akan mengaitkan merokok dengan sifat dewasa.
Dalam kes sedemikian, remaja itu akan salah menganggap bahawa merokok akan menyebabkan mereka kelihatan lebih matang atau lebih canggih. Iklan juga boleh mempengaruhi sesetengah orang supaya mula merokok. Iklan-iklan dalam majalah, papan iklan, dan acara sukan seringnya membayangkan bahawa penggunaan sesuatu jenama rokok akan menjadikan orang itu lebih seronok, lebih menarik dan lebih bersifat perseorangan. Iklan-iklan itu mempergunakan model-model untuk mencipta imej yang mungkin akan ditiru oleh orang lain. Selain itu, iklan-iklan rokok tanpa asap seringnya mencuba meyakinkan orang ramai bahawa keluaran mereka tidak berbahaya. Kebanyakan orang yang terus merokok mengalami kebergantungan kepadanya secara fizikal dan psikologi.
Mereka biasanya menghadapi gejala-gejala seperti berasa tegang, mengantuk dan mengalami sakit kepala apabila tidak merokok. Orang-orang yang tersebut itu mungkin juga merokok untuk membuat diri berasa santai apabila berasa tegang. Yang lain mempercayai bahawa merokok boleh menyebabkan mereka lebih peka dan pintar apabila berasa letih. Merokok boleh menjadi tabiat.
Seseorang perokok akan merokok secara automatik pada waktu-waktu yang tertentu, misalnya semasa menelefon, berjalan-jalan atau bersembang dengan kawan-kawan, manakala ada juga yang suka menyibukkan tangan mereka. Mereka suka akan proses mengeluarkan, menyalakan serta memegang rokok. Sesetengah orang pula berkata bahawa mereka merokok supaya dapat mengelakkan kegemukan.
Bagaimanapun, kajian-kajian telah menunjukkan bahawa kebanyakan orang yang berhenti merokok tidak menjadi gemuk. Mereka yang menjadi gemuk menjadi sedemikian kerana mereka makan lebih banyak selepas berhenti merokok. Mereka mungkin berbuat demikian kerana perbuatan memakan dapat mengalihkan perhatian mereka daripada merokok. Seseorang boleh mengelakkan tambahan berat apabila berhenti merokok dengan tidak mengubah jumlah makanan mereka atau dengan lebih bersenam.
0 comments