ENDOMETRIOSIS JEJASKAN PELUANG UNTUK MENGANDUNG SIMPTOM DAN CARA RAWATAN

by - 17:13

Endometriosis mengambil maksud daripada perkataan endometrium, iaitu endo, ‘dalam’, dan metra, ‘rahim’. Ia membawa maksud kepada keadaan atau kejadian di mana lapisan tisu yang melitupi bahagian dalam rahim didapati berada di luar kawasan rahim, atau kawasan lain pada sekitar sistem reproduksi seseorang wanita.

Pada setiap bulan ketika wanita mengalami kitaran haid, mereka akan kehilangan darah yang terdiri daripada tisu-tisu endometrium. Lapisan endometrium yang terletak di tempat yang sepatutnya, iaitu tempat normal keadaannya di dalam rahim, ia tidak mendatangkan sebarang masalah kepada seseorang wanita tersebut. Bagi wanita yang sihat tubuh badannya, lapisan endometrium akan gugur dan keluar melalui faraj. Sekiranya ia gugur, ia akan gugur sebagai darah haid sebagaimana setiap wanita mengalaminya pada setiap bulan.

Tetapi, bagi pengidap endometriosis, tisu-tisu endometrium yang terletak di luar rahim atau kawasan sekitar sistem reproduksi wanita, iaitu secara abnormal, ketika tisu-tisu endometrium itu gugur, ia tidak dapat keluar dari kawasan pelvis tersebut kerana tiada laluan keluar selain daripada faraj. Justeru itu, pendarahan dalaman akan berlaku di ruangan pelvis. Ini mengakibatkan proses penguraian darah berlaku hasil daripada tisu-tisu endometrium yang tertanggal yang menyebabkan keradangan pada kawasan sekitarnya. Wanita yang mengidap penyakit endometriosis ini akan merasai kesakitan dan tisu-tisu parut mulai terbentuk akibat keradangan tersebut. Kebiasaannya, tisu-tisu endometrium yang abnormal sering ditemui di kawasan ruangan pelvis yang merangkumi kilang telur (ovari), dinding salur Fallopio, usus kecil, pada bahagian otot rahim, belakang rahim, pangkal faraj, kawasan pundi kencing, ligamen di rahim dan dinding abdomen. Ada juga kes endometriosis yang berlaku pada kulit, paru-paru, diafragma (paru-paru), dan otak tetapi kes ini berlaku sangat jarang terjadi.

Simptom utama endometriosis adalah kesakitan ketika haid (senggugut) yang teruk dan berulang-ulang. Kesakitan yang dialami tidak semestinya berkait rapat dengan tahap endometriosis yang teruk.

Endometriosis boleh dirawat dengan ubatan, pembedahan atau kombinasi kedua-duanya. Walau bagaimanapun pesakit harus sedar bahawa proses yang menyebabkan endometrisis masih lagi berlaku dan akan berterusan berlaku sepanjang hidup. Jadi risiko untuk mendapat penyakit ini berulang adalah tinggi. Rawatan ubat sahaja mungkin boleh menghilangkan rasa sakit tetapi tidak akan menghalang endometriosis dari merebak.

Dalam banyak kes endometriosis, pembedahan menjadi pilihan utama dan pembedahan biasanya dilakukan melalui laparoskopi. Semasa laparoskopi, tisu endometriosis dimusnahkan atau dibuang dan tisu-tisu yang baru terjadi akan dibakar dengan mengunakan alat khas.

Namun rawatan secara pembedahan juga tidak menjamin bahawa kawasan endometriosis atau simptom endometriosis tidak akan berulang kembali.

Kaedah pembedahan membolehkan doktor membetulkan kedudukan rahim jika kedudukan asal rahim berubah. Setelah ia diperbetulkan, bahagian pelvik serta bahagian sekitarannya akan dibasuh dengan cecair untuk menghilangkan segala kotoran dan bahan kimia yang dikeluarkan oleh endometriosis. Jika salur Fallopio tersumbat, keadaan ini juga boleh diperbetulkan ketika pembedahan.

Pembedahan yang dilakukan termasuklah secara ablasi endometrium, pembuangan sista (sistektomi) dan akhir sekali pembuangan rahim (histerektomi) jika perawatan endometriosis gagal secara ubat-ubatan, rawatan hormon dan juga selepas sistektomi.

You May Also Like

0 comments